Selamat datang ke weblog rasmi untuk warga penduduk di Peak 208, Taman Kajang Utama, 43000 Kajang, Selangor Darul Ehsan. Weblog ini adalah di bawah naungan Persatuan Kejiranan Peak (PKP) 208. Sumbangan artikel dan berita serta pengumuman berkaitan dialu-alukan ke emel: peak208ajk@yahoogroups.com
Terima kasih kerana mengunjungi laman web ini dan sila tuliskan komen di link MAKLUMBALAS sekiranya perlu.
Sebagai menyambut tahun baru 2009, PKP 208 telah melancarkan sebuah laman weblog di http://pkp208.webs.com/ bagi tujuan menyampaikan maklumat dan mengadakan forum perbincangan sesama kita bagi mendapatkan pandangan dan memantau arah tuju PKP 208 dalam mengharungi situasi semasa serta mengatur perancangan strategik untuk tempoh 5 tahun akan datang.
Isu yang penting yang perlu difikirkan oleh segenap ahli PKP 208 adalah untuk mempastikan PKP 208 sentiasa relevan untuk tempoh mendatang. Bagi memenuhi hasrat ini, apakah peranan kita sebagai warga Peak 208 dalam membantu mencapai apa jua hasrat yang terkandung dalam perjuangan murni untuk menghidupkan budaya dan semangat bekerjasama di kalangan kita.
Usahlah kita hanya berdiam diri dan menyerahkan kepada PKP 208 semata-mata untuk merencana sesuatu kepada kita semua tetapi disebaliknya adalah lebih mulia sekiranya kita turut menyumbang ide dan tidak kurangnya juga sumbangan kewangan bagi memperolehi sesuatu yang dapat dikecapi bersama. Kata pepatah "berat sama dipikul ringan sama dijinjing" serta "bulat air kerana pembentung bulat manusia kerana muafakat" harus dijadikan teladan kepada kita semua bagi mengharungi nilai-nilai kehidupan sosial yang positif dan mengukuhkan titian perhubungan sesama kita, insyaAllah.
PKP 208 memahami bukan semua warga Peak 208 mempunyai masa yang terluang untuk memikul tanggung jawab sosial tetapi seandainya kita semua memperuntukkan sedikit masa yang berkualiti biarpun 10 minit, ia amat penting dan boleh membantu PKP 208 dalam melaksanakan fungsinya dengan lebih berkesan.
PKP208 bergerak bukan untuk kepentingan mana-mana individu tetapi atas landasan dan kepentingan semua warga Peak 208 secara amnya dan ahli PKP 208 secara khususnya tanpa mengambil kira bangsa, agama dan warna. Oleh itu PKP 208 amat berharap semua warga Peak 208 menyambut baik usaha-usaha murni ini dan sekali gus mendaftar diri untuk menjadi ahli PKP 208 bagi mereka yang belum menjadi ahli. Sama-samalah kita memperkasakan PKP 208/Peak 208, InsyaAllah.
Laman weblog ini adalah laman web percuma yang disediakan oleh webmaster. Sehubungan ini ia amat terhad dari segi ruangan nya. Sekiranya penggunaan ruangan laman weblog PKP 208 semakin terhad, besar kemungkinan kita perlu menaik taraf laman web ini. Untuk menaik tarafkan nya, ia melibatkan kos. Walau bagaimanapun untuk sementara waktu kita masih lagi boleh menggunakan nya secara terhad tanpa memuatkan nya dengan sesuatu yang sofistikated.